Media Sosial

fb  rss
rss ikon
faq hubungi-kami  aduan   peta-laman

Utama 1

LABUAN, 04 Mei 2026 - Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Kursus Keselamatan Kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta pengetahuan warga kerja berkaitan aspek keselamatan kebakaran di tempat kerja.

Ceramah keselamatan kebakaran telah disampaikan oleh PKPgB Asmadi bin Taukal yang memberikan penerangan menyeluruh berkaitan aspek keselamatan kebakaran di tempat kerja. Antara perkara yang disentuh termasuk punca-punca kebakaran, langkah pencegahan, prosedur kecemasan serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, peserta turut diberikan pendedahan mengenai tatacara pengungsian bangunan secara sistematik dan selamat. Peserta diingatkan supaya sentiasa peka terhadap laluan kecemasan, lokasi alat pemadam api serta mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan oleh organisasi.

Program diteruskan dengan sesi latihan praktikal yang dikendalikan oleh fasilitator PBK II (KUP) Nicholas Buntihal dan PB Mohd Noor Hafizan bin Zainee di Kompleks Ibu Pejabat JBPM W.P. Labuan. Dalam sesi tersebut, peserta diberi tunjuk ajar mengenai teknik penggunaan alat pemadam api yang betul serta kaedah pengendalian kebakaran kecil secara selamat dan berkesan. Peserta juga berpeluang menyertai latihan simulasi pemadaman kebakaran yang memberi pengalaman praktikal secara langsung dalam mengendalikan situasi kecemasan. Latihan tersebut mendapat sambutan yang amat baik apabila para peserta menunjukkan penglibatan aktif dan memberikan kerjasama sepanjang program dijalankan.

Penganjuran kursus ini dilihat berjaya mencapai objektif yang ditetapkan apabila peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan teori, malah dapat meningkatkan kemahiran praktikal dalam aspek keselamatan kebakaran. Program seperti ini juga dapat membantu membentuk budaya kerja yang lebih selamat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan. Secara keseluruhannya, Kursus Keselamatan Kebakaran telah berjalan dengan lancar dan memberikan manfaat besar kepada semua peserta yang terlibat. Diharapkan program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan demi memastikan tahap keselamatan di tempat kerja sentiasa berada pada tahap terbaik.